KUALA LUMPUR, 12 JAN : Hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam tahun 2020 dan 2021 dibenarkan meneruskan pembelajaran secara bersemuka di sekolah yang terletak di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin berkata, peperiksaan tersebut merangkumi semua jenis peperiksaan awam termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) termasuk murid berkeperluan khas, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Bagi murid-murid yang lain di sekolah rendah, mereka akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah terlebih dahulu. Begitu juga dengan pelajar-pelajar di Kolej Vokasional semester 2, SVM dan DVM 2020 akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Untuk negeri yang terlibat dalam PKP, hanya murid kelas peperiksaan awam sahaja yang akan ke sekolah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, bagi murid yang bersekolah asrama penuh namun terletak dalam pelaksanaan PKP, semua murid yang akan menduduki peperiksaan awam dibenarkan kembali ke asrama bermula 16 Januari ini.

Sebarang pergerakan dari rumah ke sekolah yang menuntut mereka untuk merentas negeri atau daerah akan diberikan surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas berkenaan kehadiran guru dan anggota kumpulan pelaksana semasa sekolah dibuka, Radzi berkata, semua guru hendaklah kembali ke tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari ini.

Ini termasuk bagi guru yang terlibat dalam pengurusan peperiksaan, kelas peperiksaan dan guru-guru lain yang diarahkan oleh ketua jabatan masing-masing.

“Kehadiran anggota kumpulan pelaksana ini adalah tertakluk kepada arahan ketua jabatan dan mengikut garis panduan semasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE