TAIPING: Hanya lapan individu, bukannya 44 yang dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam pemeriksaan di Plaza Perbandaran Taiping, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pemeriksaan dijalankan antara jam 8.45 hingga 11.45 pagi, melibatkan seorang pegawai dan 11 anggota polis dibantu empat anggota Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

Menurutnya, hasil pemeriksaan didapati seramai lapan individu yang terdiri daripada tiga lelaki dan lima wanita gagal mengikut SOP PKPB yang telah ditetapkan.

“Antaranya tidak menggunakan aplikasi My Sejahtera atau menulis secara manual kehadiran ke pasar Plaza Perbandaran Taiping,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Beliau memberitahu, kesemua mereka berumur antara 44 hingga 73 tahun.

Beliau mengulas mengenai hantaran yang tular di media sosial kononnya seramai 44 orang telah dikompaun di dalam pemeriksaan itu.

Sehubungan itu, Osman menasihatkan orang awam supaya jangan memberi maklumat tidak benar kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran orang ramai.

“Operasi akan terus dijalankan dari semasa ke semasa dan orang ramai agar patuh SOP PKPB.

“Amalkan norma baharu yang sering diingatkan oleh kerajaan demi memastikan rantaian COVID-19 terputus,” ujarnya.