IPOH– Polis Kontinjen Perak melarang mana-mana individu dari memiliki, menyimpan, menggunakan atau berniaga mercun serta bunga api, kecuali yang dibenarkan sahaja.

Larangan itu dibuat berdasarkan menjelangnya musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama saja lagi.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, antara mercun dan bunga api yang dibenarkan adalah jenis ‘Pop Pop’ dan ‘Happy Boom’, seperti mana spesifikasi yang telah ditetapkan dan dibenarkan.

“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang memiliki, menyimpan, menggunakan atau berniaga mercun dan bunga api tanpa kebenaran,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu ujarnya, mana-mana individu yang gagal mematuhi larangan ini adalah melanggar kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 74 hingga 78 Explosives Rules 1923.