PUTRAJAYA: Audit pengurusan terhadap TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) mendapati hanya seorang daripada empat ahli Lembaga Pengarahnya yang berstatus bebas.

Audit yang dijalankan Jabatan Audit Negara juga mendapati tiada lembaga pengarah yang mempunyai pengalaman dalam industri perhotelan yang boleh membantu dalam pengurusan operasi THHR dengan lebih berkesan.

Laporan itu menyatakan kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif THHR masih belum dilantik sejak 1 Mei 2019 manakala pemangkunya adalah Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Operasi yang menjalankan dua tugas pada masa sama.

Katanya, Kod Malaysia mengenai Tadbir Urus (MCCG) 2017 amalan 4.1 menyarankan sekurang-kurangnya separuh daripada komposisi Lembaga Pengarah berstatus bebas.

“Semakan Audit mendapati sehingga Februari lalu, tiga daripada empat Lembaga Pengarah THHR berstatus tidak bebas. Pengerusi Lembaga Pengarah THHR adalah Lembaga Pengarah TH manakala tiga Lembaga Pengarah yang lain adalah pegawai yang sedang berkhidmat di TH.

“THHR menerima pelantikan Lembaga Pengarah berdasarkan surat lantikan yang dikeluarkan oleh TH. Keadaan ini tidak selaras dengan amalan terbaik dan boleh menimbulkan risiko konflik kepentingan dalam membuat keputusan.

“Semakan Audit mendapati Piagam Lembaga Pengarah THHR tidak disediakan. THHR mengguna pakai terma rujukan Lembaga Pengarah namun ia tidak dinyatakan secara terperinci,” katanya hari ini. -BH