IPOH: Sektor pelancongan yang menjadi salah satu sumber ekonomi utama negeri Perak diyakini akan dapat diteruskan dengan pentadbiran yang bersikap telus serta matang dengan mengambil kira pandangan semua pihak.
Itu merupakan matlamat utama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, YB Tan Kar Hing dalam menerajui porfolio tersebut setelah kemenangan kerajaan Pakatan Perak pada 9 Mei yang lepas.
Kar Hing, yang juga merupakan ADUN Simpang Pulai berkata beliau akan mengutamakan tiga aspek utama di dalam usaha untuk menjadikan sektor pelancongan ini sebagai salah satu elemen utama dalam usaha memperkasakan penglibatan masyarakat setempat di negeri ini.

Meneliti Kontrak Tanpa Sebarang Unsur Kroni

Kar Hing, berkata sebagai salah seorang peneraju utama di dalam barisan kepimpinan utama kerajaan negeri beliau sama sekali tidak melupakan asas perjuangan sebagai seorang wakil rakyat yang pernah bertindak sebagai pembangkang.
Katanya, asas tersebut telah membuka mata beliau mengenai kepentingan untuk mendengar maklum balas serta komen daripada agensi berwajib yang terlibat dalam sektor pelancongan bukannya hanya membuta-tuli semata-mata mengenai kepincangan yang wujud.
“Tugas pertama saya, saya akan panggil semua agensi, jabatan kerajaan serta pihak terlibat dan saya akan membuka semua fail-fail yang mempunyai perincian mengenai kontraktor, tender, dan sebarang usahasama yang dijalankan oleh kerajaan negeri sebelum ini.
“Mana-mana kontrak yang ditandatangi, sekiranya saya dapati ada benda-benda yang tidak sepatutnya berlaku, saya tidak akan rasa teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas atau memberikan amaran keras bagi mereka yang melanggar mana-mana peraturan yang termaktub dan tidak mengikuti piawaian yang sewajarnya,”katanya ketika ditemui Suara Perak baru-baru ini.
Kar Hing juga menegaskan, bahawa beliau akan berjumpa dengan semua pihak yang mempunyai keraguan dan aduan terhadap mana-mana sektor pelancongan di negeri Perak ini agar ianya akan dapat diperbaiki dari masa ke masa.
“Saya perlu tahu apakah perancangan yang telah dirancang sebelum ini, dan setiap program yang berjalan buat masa ini. Yang baik, kita kekalkan tetapi kalau ada yang boleh bertambah baik lagi saya akan cuba perbaikinya,”ujarnya lagi.

Naiktaraf Pengiklanan dan Promosi Produk Pelancongan

Kar Hing, yang berkecimpung di dalam politik sejak bergelar mahasiswa di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang berkata antara perkara utama yang boleh dilihat di dalam usaha mempromosi produk pelancongan Perak adalah keterlibatan semua pihak secara menyeluruh.
Katanya, Perak begitu kaya dengan sumber semulajadi seperti bukit-bukau, pantai dan hutan hujan yang mampu diterajui oleh golongan orang asli, serta masyarakat berpendapatan rendah dengan lebih agresif.
“Menerusi pemerhatian saya, kita sering buat promosi secara gah dan menelan kos yang tinggi di kawasan urban dan ada kalanya kita melakukan promosi itu di luar bandar, jadi apa salahnya kali ini kita kaji semula pendekatan promosi dan pengiklanan kesemua produk sedia ada ini, dan juga produk akan datang?
“Bayangkan, industri pelancongan ini sebenarnya apabila ia diperkasakan akan dapat menjana tujuh lagi industri di kawasan berhampiran kerana pengusaha hotel, sektor makanan, pengangkutan dan sebagainya berpotensi untuk mendapat lebih banyak pelanggan dan pengguna, jadi ambil peluang ini untuk membuat kolaborasi secara langsung, pastinya ianya dapat membantu kesemua pihak sekaligus,”katanya lagi.
Menurut Kar Hing,beliau menaruh harapan yang tinggi terhadap transformasi sektor pelancongan Perak yang diapit oleh pelbagai kemudahan awam seperti landasan keretapi KTM Berhad yang terpanjang di seluruh Malaysia serta rangkaian lebuhraya yang versatail dan menghubungkan di antara satu kawasan menerusi pelbagai jalan pintas (shortcut) di antara daerah-daerah.

Dengar Semua Suara

Kar Hing berkata selepas mendengar pandangan daripada pentadbiran dan agensi terlibat beliau berharap akan wujud satu ruang atau platform khas untuk mendapatkan perspektif dan suara rakyat untuk menambahbaik sektor pelancongan di negeri ini.
Katanya beliau tidak ingin perkara yang sama terjadi kepada masyarakat di negeri ini di mana rintihan dan masalah mereka seperti tidak diendahkan.
“Saya tahu, kebanyakan masa suara di bawah tidak didengar atau pandangan tidak dipedulikan oleh pemerintah terdahulu, namun usah risau, saya akan mengubah corak pentadbiran kebiasaan itu. Selama ini, kita ada satu dasar atau sistem bersikap tertutup sebab kita rasa apa keputusan yang kita buat adalah tepat, baik dan terbaik.
“Kita tidak pernah meminta pandangan telus orang-orang yang bekerja di sektor pelancongan atau mereka yang terlibat, sebab merekalah yang setiap hari berada di tempat kejadian padahal adakalanya sebagai pemimpin, mungkin goyang kaki di bilik berhawa dingin…kita kena minta pendapat mreka,”katanya.
Kar Hing menjelaskan setelah kesemua urusan tersebut dapat dilengkapkan beliau berazam untuk memberikan ruang kepada anak muda dan mencari jalan untuk membolehkan mereka menjana pendapatan melalui sektor pelancongan.
“Saya tahu, ramai anak muda di luar sana sedang menunggu agar sektor pelancongan ini boleh menjadi sumber mata pencarian mereka, jadi inilah masanya, inilah peluang yang paling sesuai.