IPOH – Penangguhan pemilihan PKR Perak pada 23 September lalu telah memberi kesan langsung, khususnya dari segi kewangan dan logistik.

Bendahari PKR negeri, M A Tinagaran berkata, kesan itu dirasai berikutan penangguhan pada saat-saat akhir, ketika semua persiapan telah dilakukan.

“Kesannya amat menyakitkan kepada calon bertanding baik di peringkat cabang mahupun Pusat.

“Bagaimanapun kita tidak melihat perkara itu sebagai satu kerugian memandangkan matlamat utama adalah memelihara sistem perundangan untuk pastikan semua ahli diberi hak yang sama dalam mengundi,” katanya kepada pemberita pada perasmian Hari Sukan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kerajaan, Jalan Sungai Pari, di sini, hari ini.

Tarikh pemilihan baharu PKR Perak telah ditetapkan pada 27 Oktober depan.

Tinagaran berharap, tempoh berbaki itu dapat digunakan untuk meningkatkan peratusan ahli yang keluar mengundi.

Beliau yang bertanding mempertahankan jawatan Ketua Cabang Ipoh Barat bagi penggal ketiga akan memghadapi persaingan tiga penjuru.

“Dengan pengalaman yang ada, saya yakin dapat memberikan khidmat terbaik dalam membantu menyelesaikan isu-isu setempat baik di peringkat DUN mahupun Pusat,” ujarnya.