ALOR SETAR – Harga ikan kembung di Kedah mengalami penurunan mendadak sehingga enam kali ganda apabila ia kini dijual se­rendah RM4 sekilogram berbanding antara RM22 dan RM25 sekilogram tiga bulan lalu.

Penurunan harga ikan tersebut yang turut digelar ikan rak­yat menyebabkan Jeti Pendaratan Ikan Kampung Seberang Kota di Kuala Kedah di sini diserbu orang ramai seawal pukul 9 pagi semalam.

Penurunan harga sejak Hari Raya Aidilfitri kedua itu melibatkan ikan kembung bersaiz kecil iaitu antara 20 hingga 26 ekor ikan dalam sekilogram.

Peniaga ikan, Mohd. Zaki Abdul Manaf, 32, berkata, rata-rata jeti pendaratan ikan di kawasan berhampiran seperti di Sanglang dan Kuala Jerlun dekat sini menjual ikan tersebut pada harga sama.

“Harga ikan kembung ini dijual pada harga RM4 sekilogram (kg), malah pelanggan boleh mendapat diskaun dengan hanya membayar RM10 jika membeli sebanyak 3kg,” katanya ketika ditemui di jeti pendaratan ikan tersebut di sini semalam.

Katanya, hasil tangkapan ikan kembung mula meningkat pada pertengahan bulan lalu dengan jumlah tangkapan mencecah lebih 500kg bagi setiap bot yang keluar ke laut.

“Saya jangka fenomena ini akan bertahan sekurang-kurangnya sebulan lagi, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca,” ujarnya.

-Kosmo