Putrajaya: Harga ikan terutama kembung borek dan pelaling dijangka pulih menjelang April ini apabila trend pendaratan spesis berkenaan meningkat sehingga Oktober depan.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan berkata, mengikut kajian Jabatan Perikanan, jumlah pendaratan ikan kembung akan menurun bermula November hingga Mac setiap tahun.

Katanya, situasi ini akan menyebabkan bekalan ikan berkenaan di pasaran berkurangan.

“Trend kenaikan harga ini berlaku setiap tahun akibat kekurangan stok sumber selain faktor cuaca yang berlaku sepanjang tahun.

“Bagaimanapun, keadaan ini akan pulih pada April ini kerana jumlah pendaratan ikan akan meningkat malah isu harga tidak akan berlaku,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perundingan Industri Pemodenan Vesel Penangkapan Ikan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Perikanan Abu Talib Ahmad dan Penyelidik Kanan Jabatan Perikanan Dr Alias Man.

Ismail berkata, harga ikan kembung pada April ini juga akan kembali normal iaitu di bawah RM10 sekilogram berbanding mencecah sehingga RM22 sekilogram ketika ini.

-myMetro