IPOH: Kerajaan negeri Perak yakin pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dapat menurunkan harga rumah secara menyeluruh di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong berkata, ini kerana SST hanya dikenakan pada peringkat permulaan sahaja dan tidak melibatkan banyak transaksi.

Sebaliknya, kata beliau, di bawah GST yang melibatkan banyak traksaksi dan setiap traksaksi akan dikenakan enam peratus.

“Itu sebab apabila pelaksanaan GST dijalankan pada 1 April 2015, saya boleh mendapat bukti yang kukuh, di mana skim perumahan dan kedai-kedai, langsung tidak boleh dapat sambutan kerana semua kos naik berlipat kali ganda.

“Saya tidak mahu semua dikelirukan bahawa SST lebih menyusahkan, sebenarnya tidak, ia cuma kena satu kali sahaja, iaitu ketika pemain industri menjual kepada distributor (pengagih),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Dasar Perumahan Negeri Perak 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini berhubung pemansuhan GST dan pengecualian SST, dijangka dapat meringankan tekanan membabitkan harga rumah, bangunan perindustrian dan komersial.

Di bawah GST, bahan-bahan asas seperti batu-bata, simen, pasir dan lain-lain bahan pembinaan dikenakan GST pada kadar enam peratus, termasuk.

Malah, perkhidmatan pembinaan juga turut dikenakan GST sebanyak enam peratus.

Yong berkata, kesan pengurangan itu akan dapat dilihat dengan pelancaran projek perumahan baharu nanti.

Pendapat beliau disokong Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Cawangan Perak, Tony Khoo Boon Chuan yang mengakui turun terkesan teruk selepas GST diperkenalkan.

“Semasa GST, kita terpaksa pindahkan bayaran GST enam peratus kepada pembeli, itulah sebab harga rumah semakin naik, kita terpaksa naikkan harga, kalau tidak siapa yang tanggung bayaran GST,” ujarnya.

Beliau yakin, dengan SST, harga rumah akan turun kerana ia hanya satu peringkat sahaja yang kena cukai jualan 10 peratus.

Beliau memberi contoh, apabila SST diperkenalkan, sebuah rumah yang berharga RM300,000 boleh dikurangkan sehingga RM10,000.

Tony juga yakin, sekiranya kerajaan negeri membantu mendapatkan pengurangan kos yang perlu dibayar kepada agensi-agensi seperti pihak berkuasa tempatan, elektrik, air dan pembentungan, harga rumah akan dapat dikurangkan lagi.