SHAH ALAM – Pengenalan harga siling mingguan bagi petrol dan diesel akan diumumkan secara mingguan buat pertama kalinya pada 29 Mac ini dan harga tersebut akan berkuatkuasa keesokkan harinya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, mekanisme pengapungan harga terkawal bahan api secara mingguan itu telah dipersetujui jemaah menteri pada 22 Februari lalu.

Menurutnya, bagi menambah baik mekanisme yang digunakan sekarang, kementeriannya telah melakukan beberapa sesi keterlibatan dengan syarikat minyak, pengusaha minyak, NGO dan pihak berkepentingan lain.

“Setelah perbincangan bersama dengan syarikat minyak dilakukan baru-baru ini, Kerajaan bersetuju melakukan pengumuman penetapan harga petrol dan diesel secara mingguan pada setiap hari Rabu dan harga akan berkuatkuasa pada jam 0.01 pada hari berikutnya, iaitu pada Khamis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hamzah berkata, pada masa ini, kaedah yang diguna pakai Kerajaan adalah dengan membuat pengumuman harga petrol dan diesel secara bulanan.

“Bagi penetapan harga bulan, kita mengambil pendekatan penetapan harga secara pengapungan terkawal menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) sejak 1983.

“Namun sejak pengapungan terkawal secara bulanan ini, kita dapati perubahan atau kadar turun naik begitu ketara. Ini menyebabkan kegelisahan kepada pengguna dan pengusaha stesen minyak, sehingga berlakunya pembelian panik oleh pengguna dan beratur panjang di stesen minyak,” katanya.

Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan juga mengambil masa yang lama iaitu selama sebulan untuk membuat pembetulan sekiranya berlaku perubahan ketara harga minyak di pasaran dunia.

Justeru, beliau berkata, dengan pelaksanaan harga siling mingguan ini sebarang perubahan harga MOPS dan kadar tukaran asing dapat diterjemahkan lebih tepat mengikut perkiraan pasaran global.

Bagaimanapun katanya, mana-mana syarikat dan pengusaha stesen minyak yang ingin melakukan promosi dengan memberikan diskaun daripada harga yang ditetapkan boleh berbuat demikian dengan mendapatkan kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan terlebih dahulu.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak agar mematuhi penetapan harga baharu ini.

“Tindakan tegas akan diambil kepada syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang menjual petrol dan diesel pada harga selain yang ditetapkan oleh Kerajaan,” katanya.

-SinarHarian