IPOH: Hari Jumaat minggu ketiga setiap bulan akan dijadikan hari mengemas sebagai kesinambungan kepada Program Perak Yang Bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, pada hari tersebut, selama sejam pada waktu diperuntukan untuk kerja-kerja pembersihan.

Menurut beliau, pada hari itu juga semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan melaksanakan aktiviti gotong royong melakukan pembersihan.

“Malahan, kerajaan juga sedang berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk membolehkan pelajar dibabitkan sama dalam aktiviti setiap Jumaat ketiga berkenaan,” kataanya ketika menggulung perbahasan di Sidang DUN pada Isnin.

Rusnah berkata, kerajaan negeri yakin, dengan usaha gigih dan penglibatan semua pihak, usaha itu akan menjadi rutin dan iltizam untuk menanam sikap cintakan kebersihan di kalangan rakyat.

Beliau memberitahu, Program Perak Yang Bersih yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada 31 Mac lalu adalah usaha bersepadu untuk menangani masalah sampah secara holistik kerana ia boleh menimbulkan pelbagai masalah seperti denggi dan kencing tikus.

Menurut beliau, menggunakan tagline lihat, kutip dan buang, program itu menjadi hasrat kerajaan supaya ia menjadi pegangan kepada semua rakyat dan diamalkan dalam kehidupan seharian mereka.

Rusnah menambah, usaha itu juga diharap dapat membantu kerajaan menangani masalah sampah yang bertambah hampir 20 peratus setiap tahun, seperti yang dititahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika merasmikan Sidang DUN.

Katanya, kerajaan negeri kini sedang dalam usaha untuk menyediakan tong-tong sampah dan bin-bin kitar semula yang mencukupi di setiap PBT untuk tujuan kitar semula.

Malah, tambahnya, pihak PBT juga telah menjalankan kerjasama dengan beberapa pihak seperti SWCorp Negeri Perak dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Ko Hijau untuk menggerakkan pendidikan kempen kitar semula.