Oleh: Nazialita Geynna Maharan

TANJUNG MALIM: Hujan lebat tidak menghalang penghayatan semangat patriotisme mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang disemarakkan melalui program Hari Patriotik Borneo 2017 baru-baru ini.

e1e7b702-3785-41c3-8e8e-947d9b30e2fdProgram tersebut menampilkan keunikan budaya etnik berbilang kaum di negeri Sabah dan Sarawak melalui pelbagai persembahan yang dikongsi bersama rakan mahasiswa dari seluruh Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup hadir menyempurnakan perasmian program yang diadakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

Pengarah program itu, Chonnel George berkata, tujuan penganjuran aktiviti itu adalah untuk menyemarakkan nilai dan semangat patriotisme di kalangan mahasiswa sempena sambutan kemerdekaan negara kali ke-60.

83deb64b-743a-4a55-bd5b-abbe2059df4a“Penyatuan Sabah, Sarawak ke dalam Tanah Melayu dan membentuk Malaysia merupakan satu peristiwa yang begitu terkesan dalam hati kami.
“Program ini adalah tanda penghargaan kami bagi menjunjung aspirasi negara demi menjaga keharmonian rakyat di Malaysia.

“Inilah budaya dan etnik kami dari Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang; tidak salah kami berkongsi pengalaman membesar bersama muzik ini.

“Persembahan ini yang dibuat bersama rakan-rakan turut menggamit memori bersama keluarga,” katanya kepada Suara Perak, baru-baru ini.

Chonnel berkata, antara tarikan Hari Patriotik Borneo 2017 ialah gimik perasmian yang memaparkan aksi memecahkan belon menggunakan sumpit dengan sekali percubaan.

“Acara lain ialah persembahan tarian 1Malaysia, tarian etnik Sabah & Sarawak, cabutan bertuah, nyanyian lagu patriotik dan acara selingan yang dilakukan bersama-sama para tetamu, semuanya begitu bersemangat!” katanya lagi.

Menurut Chonnel, dengan kehadiran 600 tetamu, program itu yang meraikan kepelbagaian kaum di Malaysia, dilihat berjaya mencapai sasaran dan objektif penganjurannya.

192e4cd1-f006-450c-a487-d8bcd2f29974

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perak, Abdul Hadi Salleh dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Md. Amin Md. Taff serta pensyarah-pensyarah dari Sabah dan Sarawak.