IPOH: Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak (HSN) 2017 yang berlangsung pada 13 hingga 15 Oktober ini akan menyasarkan lebih 1 juta orang penyertaan merangkumi pelajar sekolah, belia, persatuan, Institut Pengajian Tinggi (IPT), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, untuk mencapai sasaran itu sebanyak 1,130 program telah disusun setiap daerah di negeri ini.

Beliau berkata pada tahun lalu HSN Perak berjaya menarik 730,000 penyertaan.

“Pada tahun lalu penyertaan di Perak merupakan kedua tertinggi di negara ini dan insyaallah tahun ini kita boleh mencapai 1 juta penyertaan.

“Kita yakin kerana di Perak ini, sukan merupakan sesuatu yang sinonim dengan kita, malahan banyak program dirancang oleh kerajaan negeri juga berteraskan sukan dan ia secara tidak langsung telah mewujudkan satu kebiasaan di kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan HSN Perak 2017 di bulatan Amanjaya, di sini pada Sabtu.

hari-sukan-negara 2

Dalam program itu lebih 10,000 pengunjung telah membanjiri bulatan Amanjaya untuk memeriahkan HSN Perak 2017 dengan menyertai pelbagai program menarik.

Dr. Zambry bersama barisan exco kerajaan negeri turut menyertai program kayuhan sejauh 30km bersama lebih 3,000 rakyat di negeri ini mengelilingi Meru Raya, di sini.

Menteri Besar berkata program seumpama itu boleh mewujudkan kesedaran dikalangan rakyat mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Antara program yang diadakan sepanjang program yang bermula seawal jam 7.30 pagi sehingga 10.30 pagi itu ialah senamrobik, fun walk 10,000 langkah, Fitness challenge dan memanah.

Turut memeriahkan program perasmian HSN 2017 ialah atlet-atlet Perak yang memenangi pingat di Sukan SEA ke-29.

Terdahulu Dr Zambry merasmikan Program Gotong Royong NBOS My Beautiful Neighbourhood (MyBN) 2017 peringkat negeri di Masjid Al-Ansar Meru Raya di sini.

Beliau bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man dan ahli-ahli majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meluangkan kira-kira 30 minit membersih kawasan sekitar masjid termasuk longkang perumahan berdekatan sebelum bergerak menuju ke bulatan Amanjaya.