KUALA LUMPUR: Penduduk sekitar Lepar, Gambang, Pahang, gusar susulan dakwaan harimau belang berkeliaran di kawasan itu.

Harimau Malaya dewasa itu dikesan muncul di Jalan Lepar, Gambang, Pahang dan gambarnya yang dirakam saksi tersebar luas di media sosial.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata kakitangan PERHILITAN Pahang sudah dihantar ke lokasi kejadian, malam semalam dan pagi tadi untuk melakukan pemantauan.

“Satu pasukan khas PERHILITAN turut diarah untuk membuat tinjauan di sekitar lokasi harimau itu dilihat muncul.

“Beberapa `camera trap’ juga dipasang di kawasan itu bagi mengumpul maklumat, selain memastikan jumlah sebenar harimau yang berada di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi wartawan, hari ini.

Abdul Kadir berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat haiwan dilindungi itu perlu menjauhkan diri serta segera menghubungi pihak PERHILITAN.

Beliau tidak menafikan isu penerokaan tanah untuk pertanian, selain pencerobohan hutan menjadi punca hidupan liar kerap ditemui merayau keluar dari habitat asal – berita harian