PUTRAJAYA: Sebanyak 300 tan mangga Harumanis akan dieksport ke China mulai pertengahan Mei ini sebagai langkah permulaan untuk memperkenalkan produk pertanian tempatan tersebut ke pasaran yang lebih besar, kata Ketua Pengarah Pertanian Datuk Jamal Harizan Yang Razali.

Beliau berkata usaha tersebut akan direalisasikan melalui kerjasama antara Koperasi Kakitangan Jabatan Pertanian Perlis dan Syarikat Kayazon Bhd yang telah menandatangani perjanjian persefahaman pada 22 April lalu.

“Pengeksportan mangga Harumanis ke China dan Hong Kong akan dibuat secara berperingkat sehingga 300 tan selama lima tahun.

“Ia merupakan percubaan pertama kita untuk mempromosikan satu lagi produk pertanian premium tempatan ke Tanah Besar China,” katanya pada sesi tweet up Jabatan Pertanian bersama media di sini, Rabu.

Katanya pada tahun ini, dijangkakan musim puncak pengeluaran mangga Harumanis bermula pada pertengahan Mei hingga Jun ini dengan jangkaan pengeluaran mingguan sebanyak 350 tan.

Selaras dengan usaha untuk mempertingkatkan nilai durian sebagai sumber kekayaan baharu negara, Jamal Harizan berkata jabatan tersebut akan melaksanakan langkah pencantuman pokok durian kampung untuk menghasilkan durian jenis premium tidak lama lagi.

“Langkah ini berikutan rungutan daripada pengusaha durian kampung yang tidak mendapat manfaat daripada harga durian yang semakin lumayan. Jabatan akan melaksanakan tranformasi ladang melalui kaedah cantuman pada pokok durian dewasa.

“Dalam masa dua hingga tiga tahun, dijangkakan pokok tersebut mampu menghasilkan durian jenis premium dan berkualiti tinggi,” katanya sambil menambah kira-kira 25 peratus daripada 66,000 hektar tanaman durian adalah daripada jenis durian premium seperti Musang King.

Mengenai sekatan import rock melon dari Australia ke negara ini susulan laporan berlakunya kematian di Sydney akibat memakan buah itu yang dicemari bakteria Listeria monocytogenes, beliau berkata ini adalah masa yang sesuai bagi pengusaha tempatan untuk mempromosikan rock melon tempatan.

“Kualiti dan rasa rock melon yang ditanam di Malaysia dan Australia tidak jauh bezanya, malah rock melon tempatan mempunyai rasa yang lebih manis dan murah berbanding yang diimport dari beberapa negara lain.

“Sementara sekatan ini dikenakan, kita mahu mengambil kesempatan untuk memperkenalkan rock melon tempatan kepada rakyat di negara ini,” katanya. — Bernama