IPOH: Dailog Antarabangsa Pembangunan Pangkor (Pangkor Dialouge) terus mendapat pengiktirafan, bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah juga di peringkat antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, terbaharu, pihaknya menerima jemputan daripada New York untuk turut berkongsi pengalaman penganjuran dialog itu.

“Hasil daripada Pangkor Dialouge juga akan turut dikongsi dengan masyarakat antarabangsa.

“Kita juga mendapat sokongan kuat daripada tokoh-tokoh antarabangsa, termasuk pemenang-pemenang Hadiah Nobel yang datang setiap tahun untuk berkongsi pengetahuan mereka, kepakaran mereka dalam dialog ini…ini amat membanggakan negeri Perak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan `soft launch’ Pangkor Dialouge dan Festival Idea 2018 di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi

dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan ((IDR) Dr Mazalan Kamis.

Pangkor Dialogue dan Festival Idea tahun ini dijangka diadakan bermula 1 Ogos 2018 (1818).

Dr Zambry mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, khususnya kerajaan Persekutuan yang banyak memberi dokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Pangkor Dialouge melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Malah, kata beliau, di dalam perbincangan di peringkat lembaga NCIA, acara itu dimasukkan sebagai salah satu daripada perkara yang perlu dilaksanakan melalui penglibatan NCIA untuk membantu negeri Perak.

Beliau yakin, hasil kerjasama dan bantuan daripada NCIA dan United Nations Development Programme (UNDP), membolehkan Perak melaksanakan program itu dengan lebih besar lagi.