PANGKOR: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menganggap hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk mengetuai Pakatan Harapan hanya akan mengucar-kacirkan lagi pakatan itu.

Ini kerana, kata beliau, harapan untuk mengetuai pakatan itu turut sama dikongsi oleh parti-parti lain seperti Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP.

“Saya anggap itu merupakan kenyataan harapan mereka sahaja.

“Mereka anggap boleh satukan kesemua parti di dalam pakatan itu tapi DAP juga rasakan mereka boleh berbuat demikian, PAN juga rasa mereka boleh begitu jadi akhirnya bagaimana?” katanya beliau dalam satu sidang media di Pangkor pada Ahad.

Justeru itu, beliau berkata, pertindihan cita-cita dikalangan parti pembangkang hanya membuktikan pakatan itu dalam keadaan tiada hala tuju.

“Hari Ini mereka sangat dalam keadaan kucar-kacir, hala tuju mereka juga tidak jelas,” ujar Dr Zambry.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi bayangan bahawa PPBM mahu menjadi parti utama yang mendokong perjuangan Pakatan Harapan.