HUTAN MELINTANG: Sepanjang hidupnya, Norzam Mohd Yusof, 78 menyangka dia akan menghabiskan sisa hidupnya di rumah pusaka peninggalan emaknya yang hanya menanti masa untuk menyembah bumi.

Namun, hasil kerjasama kerajaan negeri Perak dan FELCRA Berhad, Norzam yang lebih mesra dipanggil Pak Jam berpeluang menikmati keselesaan di rumah serba baharu yang dihadiahkan melalui Program Bantuan Rumah (PBR) 2016.

Datuk kepada empat cucu itu berkata dia tidak menyangka permohonan yang diajukan oleh isterinya, Hani Mohd Awang, 69 itu mendapat perhatian pihak FELCRA, malah diuruskan dalam masa cukup singkat.

“Kami menghantar permohonan tersebut pada pertengahan tahun lepas dan kelulusannya siap dalam masa kurang dua bulan, kini rumah tersebut hanya perlu dimasukkan api dan air bagi membolehkan kami diami awal Februari depan.

“Mungkin keadaan kami tak sedaif insan lain, tetapi saya hanya boleh melihat menggunakan sebelah mata sahaja disebabkan katarak, malah rumah kami pun sudah berlubang dan cukup usang, memang bahaya, rasanya ini adalah nikmat duniawi yang diberikan kepada saya sebelum nafas terakhir, merasa juga duduk rumah batu,” katanya sayu.

Norzam, yang bekerja sendiri berkata ini adalah kali pertama dia melihat begitu ramai pemimpin turun padang dan membanjiri Bagan Datuk sepanjang beliau berada di tanah kelahirannya itu.

Anak kelahiran Kg Tebuk Masjid, Batu 23, Selekoh itu berharap agar FELCRA dapat membantu lebih banyak warga emas sepertinya yang sudah tidak mampu keluar dan membanting tulang untuk hidup selesa melalui program PBR tersebut.

Bagi Ahmad Tarmizi Baharuddin, 34 pula, rumah yang bakal dibina di Kg Sungai Nipah Baroh, Bagan Datuk itu merupakan rezeki anak ketiganya yang dijangka lahir awal Februari depan.

Katanya, pada mulanya dia tidak menyangka akan memperolehi peluang mempunyai rumah sendiri, namun rezeki berpihak kepada keluarganya berikutan satu insiden yang agak melucukan.

“Terkejut juga bila abang sepupu saya panggil saya secara tiba-tiba ke rumahnya, dia kata FELCRA dah silap kerana namanya tersenarai sebagai penerima sedangkan beliau sudah mempunyai rumah hasil ihsan Baitulmal Negeri Perak, dia suruh saya mohon cepat-cepat.

“Saya fikir, apa salahnya saya mencuba mana tahu rezeki anak, tengok-tengok dah dapat pula, memang ini cukup menjadi berita gembira buat kami seisi keluarga. malah bertepatan dengan masa jangkaan anak ketiga lahir,” katanya kepada Suara Perak.

Tarmizi, nelayan di Sungai Nipah berkata pendapatannya sekitar RM1000 sebulan diyakini dapat menampung belanja sekolah dua lagi anaknya selain membayar bil air dan api.

“Setelah hidup bersama mentua selama enam tahun, ini  merupakan rahmat kepada saya dan isteri kerana kini kami mampu bersama membesarkan anak-anak tanpa membebankan mana-mana pihak, belajar berdikari dan berusaha untuk memberikan keselesaan buat keluarga ini,” katanya lagi.

Kedua penerima PBR ini ditemui dalam Program Mesra Kasih Pemimpin Bersama Rakyat Sempena Program Permukiman YAB Menteri Besar di daerah Bagan Datuk di Dewan Komuniti 1 Malaysia, Batu 20, di sini pada petang Khamis.