IPOH: Kerajaan negeri Perak telah mengenalpasti sindiket dan individu yang meneroka secara haram tanah kerajaan, kemudian menjualnya kepada pihak ketiga dengan harga serendah RM500 satu lot.

Pembeli turut diberi jaminan kononnya kerajaan negeri pasti akan meluluskan permohonan untuk mendapatkan hal milik tanah berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri memandang serius perbuatan itu dan telah meminta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pentadbir tanah di daerah-daerah membuat semakan di semua kawasan terlibat.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran sedemikian.

“Orang yang meneroka tanah secara haram, membuka kemudian menjual kepada orang lain.

“Orang yang membeli tanah ini menganggap tanah itu dibeli secara sah dan dia kemudiannya membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk memiliki tanah itu dengan menyertakan sekali surat akuan bersumpah bahawa dia telah membeli tanah ini sebanyak sekian-sekian daripada si orang ini yang dikatakan memiliki tanah ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di sini pada Rabu.

Menurut Dr Zambry, proses jual beli itu sendiri tidak sah kerana penjual bukan merupakan pemilik tanah.

Dalam masa sama, kata beliau, pembeli boleh membuat laporan polis sekiranya mereka merasakan telah tertipu.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, tanah yang diteroka itu dipecahkan kepada lot-lot mengikut keluasan tertentu dan dijual dengan harga yang sangat murah, lebih-lebih lagi sekiranya peneroka asal ingin berpindah ke tempat lain.