LONDON: Hatrik Jamie Vardy memberi ancaman awal kepada Manchester City untuk kembali mencari gelaran Liga Perdana ketika mereka melepaskan tiga penalti ketika tewas 5-2 kepada Leicester awal pagi tadi.

City beraksi tanpa bintang utama kerana jangkitan COVID-19 tetapi masalah di bahagian pertahanan sekali lagi terdedah apabila gagal mengawal kepantasan dan penyudah baik Vardy ketika skuad Pep Guardiola melepaskan lima gol buat pertama kali dalam karier kejurulatihannya.

Reaksi pengurus Manchester City, Pep Guardiola selepas tewas kepada Leicester City. - Foto AFP

Leicester mendaki ke kedudukan teratas liga tetapi perlu bangkit daripada ketinggalan untuk melebarkan permulaan sempurna musim ini apabila sepakan Riyad Mahrez membuka jaringan berdepan bekas kelabnya selepas hanya empat minit.

“Masalahnya ialah kami memberikan tekanan tambahan terhadap diri sendiri untuk menjaringkan gol kedua dan ketiga,” kata Guardiola.

“Kami perlu lebih tenang, kami tiada pemain yang boleh menyerang ke dalam kotak penalti seperti yang kami mahukan.

“Saya tidak akan mengaku kalah, saya cuba mencari penyelesaian.”

Pemain pertahanan Manchester City, Kyle Walker (kanan) mengasari penyerang Leicester City, Jamie Vardy. - Foto AFP

City dilaporkan semakin hampir mendapatkan pertahanan tengah Benfica, Ruben Dias dan keperluan terhadap pertahanan tengah amat jelas ketika Vardy mudah mengatasi pasangan baharu, Eric Garcia dan Nathan Ake.

“Kami mula menyukarkan mereka dan ia menjadi ancaman,” kata Vardy. “Kami sedar jika kami terus dengan perancangan itu, kami akan ada peluang.” – AFP