Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Pasukan sukarelawan yang merupakan barisan pertahanan kedua negara selepas polis dan tentera perlu mengamalkan konsep pertahanan menyeluruh atau “hanruh” dalam bersedia menghadapi sebarang cabaran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata konsep murni itu perlu dihayati agar masyarakat dapat meningkatkan penglibatan mereka dalam membantu polis dan tentera menghadapi segala rintangan di dalam Malaysia.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri itu juga berkata bahawa peranan pasukan sukarelawan dalam mewujudkan negara yang aman adalah tidak kurang pentingnya khususnya ketika mendepani permasalahan yang wujud pada hari ini.

“Kita mahu tunjukkan Malaysia ini sebagai sebuah negara yang aman dan sejahtera, begitu juga dengan bumi Bagan Datuk. Kita tunjukkan negara kita sebagai kawasan yang aman, bebas jenayah, bebas dadah dan bebas daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan masyarakat.

“Saya dari dulu hingga sekarang cukup menghargai semua badan sukarela, kita juga tahu ketika Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Kedua beliau menyarankan polis dan tentera menjadi benteng pertahanan pertama.

“Barisan pertahanan dan keselamatan kedua negara ini iaitu pasukan sukarelawan bersesuaian dengan konsep pertahanan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perhimpunan Sukarelawan Bagan Datuk 2018 di Dataran Bagan Datuk di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata,amalan konsep itu turut dipraktikkan secara holistik ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini.

Malah,Ahmad Zahid berkata beliau juga membantu Najib menghidupkan semangat hanruh ini dengan memberikan kuasa kepada pasukan sukarela di negara ini.

Turut hadir, calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan calon kerusi DUN Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi.

Dalam majlis tersebut, sekitar 1,500 anggota pasukan sukarela menghadiri perhimpunan berkenaan yang turut dimeriahkan dengan persembahan beberapa artis terkenal tanah air antaranya Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash dan Datuk Khatijah Ibrahim.

BERITA BERKENAAN : Keluarga Terkejut Tindakan Nik Omar