Alor Gajah: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot dagang yang ditemui karam di 6.8 batu nautika dari muara Kuala Linggi, di sini, semalam dihentikan, hari ini.

Pengarah Maritim Daerah Maritim 5 (DM5) Kuala Linggi, Kepten Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, SAR dihentikan 8.30 pagi tadi berikutan tiada tanda-tanda penemuan mangsa.

“Punca kejadian masih dalam siasatan namun kita terpaksa hentikan operasi berikutan tiada laporan polis diterima mengenai kehilangan mangsa mahupun kejadian bot karam. Malah identiti sebenar bot juga masih belum diketahui,” katanya dalam sidang media di pejabat DM5 Kuala Linggi di sini, hari ini.

Beliau berkata, begitupun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan melancarkan semula SAR sekiranya ada penemuan terbaru.

Semalam, pengusaha bot tunda TAG Marine dilapor mengesan bot karam dan melaporkannya kepada agensi terbabit pada 5.20 petang dan APMM DM5 menghantar Bot Petir 84 ke lokasi pada 5.55 petang.

Mazlan berkata, tiada tanda-tanda wujud mangsa, penemuan barang dagang mahupun debris ditemui terapung sekitar pencarian. – Harian Metro