PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu semua pihak terutama pembangkang berhenti menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik.

Perdana Menteri berkata, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kerajaan diperlihatkan sebagai tidak peduli mengenai Islam dan Melayu, selain akur kepada kehendak golongan bukan Islam dan bukan Melayu sehingga menggadai kepentingan bangsa Melayu dan orang Islam.

Katanya, ini dilakukan oleh satu gerakan yang pastinya didalangi mereka yang tewas dalam pilihan raya dan agak ketakutan menghadapi proses undang-undang yang mula membelenggu mereka.

“Tidak cukup dengan itu, kita juga dituduh mahu melupuskan sistem beraja.

“Atas sebab ini, mereka bergabung dan dasar yang mereka pegang untuk kononnya mempertahankan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang Melayu dan kedaulatan Islam.

“Pesanan saya, cukup-cukuplah menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, amat menghairankan bagaimana PAS dan UMNO boleh bergabung dan bekerjasama, sedangkan semua tahu UMNO selama ini dikafirkan oleh PAS dan pemimpin PAS terutama Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah menarik balik amanatnya.

“Kerana itu bertahun-tahun lamanya sehinggalah ke Pilihan Raya Umum Ke-14, orang Melayu yang percaya kepada PAS tidak akan mengundi UMNO, walaupun di kerusi yang PAS tidak bertanding.

“Mereka lebih rela mengundi DAP, PKR, PBS (Parti Bersatu Sabah) dan mana-mana parti pimpinan orang Islam atau pun tidak, asalkan bukan UMNO.

“UMNO pula ditolak rakyat pada PRU-14 kerana mereka dipimpin oleh seorang kleptokrat dan bertanggungjawab membenar penjarahan secara besar-besaran dilakukan terhadap institusi Melayu dan Islam seperti Tabung Haji, FELDA, MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan sebagainya,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pada PRU-14, Pakatan Harapan (PH) tampil ke hadapan dan bersama rakyat daripada semua kaum untuk menyekat kebatilan yang dilakukan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, katanya, apabila matlamat itu tercapai, hari ini PAS menyeru penyokongnya untuk bersama-sama dengan UMNO bagi mempertahankan Melayu dan Islam.

“Di manakah mereka ketika pemimpin UMNO mencuri dan menjarah harta negara menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji dan FELDA serta lain-lain institusi kerajaan seperti KWAP (Kumpulan Wang Persaraan) dan dan EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja)?

“Kerana itu, perjuangan yang kononnya untuk mempertahankan Melayu dan Islam tidak lain daripada mempertahankan perompak negara yang berharap jika kerajaan ini jatuh, maka kes yang mereka hadapi akan gugur dan tidak perlu bertanggungjawab dengan dosa dan kerosakan yang mereka lakukan,” katanya – Berita harian