IPOH: Masyarakat perlu henti menyebarkan klip video pengakuan berani daripada seorang lelaki disyaki berbangsa Melayu yang mengisytiharkan dirinya sebagai seorang penganut Kristian yang berstatus Pastor.

Tindakan menyebarkan video di media sosial itu disifatkan hanya membawa kepada mempromosikan lelaki itu secara tidak langsung.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, pernyataan lelaki itu yang meyakini anutan barunya itu benar berdasarkan perubahan sikap yang kononnya bertambah baik berbanding ketika Islam adalah terlalu dangkal.

“Perisytiharan mengejutkan yang saya fikir merupakan suatu pernyataan ikhtiari, bukan sekadar pemakluman malah dia sendiri tahu kesan dan akibat daripadanya.

“Saya yakin benar bahawa dia gagal memahami tentang Islam daripada sumber yang benar biarpun berada di persekitaran keluarga dan masyarakat Muslim.

“Keabsahan (sifat sah) Islam tidak cuba dihayati di samping kepercayaan dan anutan lain yang diambil tanpa ilmu dan
kefahaman yang betul.

“Isu murtad bukanlah perkara baru dalam atmosfera dunia masa kini namun, sejarah mencatatkan berbondong-bondong manusia yang pernah mengecapi nilai iman dan Islam pernah memilih tindakan keji ini seusai kewafatan Baginda Nabi SAW,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, semua pihak bertanggungjawab untuk menangani isu
murtad ini secara kolektif, di saat penularan wabak COVID-19 dan lain-lain isu.

“Virus murtad ini terlalu bahaya yang tidak mungkin kita boleh meletakkan ia sebagai isu peribadi dan konflik kepercayaan sahaja.

“Di saat kita disibukkan dengan penularan wabak COVID-19, persengketaan politik, kemelesetan ekonomi dan pelbagai ujian lain yang memungkinkan kita akan terleka dengan isu murtad yang terlalu penting ini.

“Membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi menunjukkan
kebencian terhadap perbuatan keji ini seperti laporan polis dan sebagainya yang difikirkan munasabah,” katanya.

Baru-baru ini, rata-rata netizen didedahkan dengan rakaman yang tular di media sosial mengenai pengakuan berani seorang lelaki yang disyaki berbangsa Melayu yang mengisytiharkan dirinya sebagai seorang penganut Kristian yang berstatus Pastor.