MANJUNG – Polis sedang menyiasat motif sebenar tindakan tiga individu dipercayai memukul seorang lelaki yang didakwa tidak membayar makanan di Medan Selera Taman Samudera di sini, Ahad lalu.

Video berdurasi 41 saat itu mula tular dalam laman sosial menyaksikan tiga lelaki dengan seorang daripada mereka memegang objek seperti kayu bertindak memukul seorang lelaki yang memakai baju berwarna merah di luar sebuah premis makan.

Bagaimanapun, paparan video itu mendapat kecaman daripada netizen yang tidak berpuas hati dengan tindakan kumpulan lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, pemilik gerai berusia 25 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Seri Manjung.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan daripada pemilik yang menafikan kejadian itu berpunca daripada tidak bayar makanan.

“Polis masih menyiasat motif kejadian dan berdasarkan laporan yang diterima, kejadian itu berpunca daripada lelaki berkenaan.

“Sehingga kini, lelaki terlibat masih belum tampil membuat laporan polis. Orang ramai juga diminta hentikan penyebaran video berkenaan tanpa mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.

Katanya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh.

-SinarHarian