IPOH: Orang ramai diminta tidak terus menularkan video kononnya terdapat ulat di dalam ayam masak merah di Restoran Nasi Vanggey Silibin.

Pengurus Restoran Nasi Vanggey Ipoh, Azlan Shah Saiful Jaafar Sadik berkata, perkara itu tidak benar sama sekali.

Tambahan pula, pihaknya telah membuat laporan polis mengenai perkara itu pada Sabtu lalu.

“Saya harap orang ramai hentikanlah penyebaran berita palsu, ini satu fitnah,” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 20 saat melalui media sosial yang mengundang keraguan kepada pelanggan lain untuk makan di restoran tersebut.

Menurut Azlan Shah, isu itu dipercayai timbul apabila pihaknya enggan melayan permintaan seorang pelanggan lelaki mendakwa dirinya sebagai penjaga kawasan tersebut dan meminta wang perlindungan sebanyak RM300 sebulan.

Lelaki terbabit kemudiannya sekali lagi datang ke restoran tersebut untuk makan dan mengadu terdapat ulat pada ayam yang telah habis dimakan.

Lelaki itu kemudiannya meminta wang pampasan sebanyak RM3,000 sebagai ugutan untuk tidak menyebarkan video yang dirakam.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Senam, bagi melindungi restoran terbabit serta penafian mengenai video yang tular di laman sosial tersebut.

Azlan Shah berkata, ekoran daripada itu, pihak Jabatan Kesihatan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan pihak polis telah datang menyiasat.