GERIK – Hentian Royal Belum Amanjaya bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan Hutan Hujan Tropika Belum-Temengor (BTTR) sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya masyrakat Orang Asli.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan mencemar duli merasmikan hentian berkenaan yang terletak di Pulau Banding, Gerik hari ini.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, berkata pembinaan hentian bernilai RM20.4 juta di atas tanah seluas 4 ekar itu akan memacu pembangunan di kawasan sekitar dan memberi manfaat kepada penduduk dengan peluang pekerjaan serta perniagaan.

“Selain perhentian ini kita juga ada mewujudkan tiga ‘base camp’ untuk pelancong sekitar perhentian ini yang menelan belanja RM4.7 juta.

“Ini sudah tentu akan merancakkan lagi pembangunan dan menarik lebih ramai kemasukan pelancong ke kawasan sekitar.

“Pelancong yang masuk ke sini lazimnya bukanlah ‘backpackers’ biasa namun mereka lebih kepada pecinta alam yang mana memilih barang-barang premium sekali gus mempunyai kuasa berbelanja yang besar,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian tarikan terbaru itu.

Kata beliau, inisiatif yang dilakukan NCIA di kawasan terbabit sejak 2010 itu juga telah meningkatkan jumlah kedatangan pelancong dengan kadar 200 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Kenjungan dijangkakan akan terus berkembang dengan kewujudan perhentian yang juga menempatkan jeti berkenaan, katanya.

“Hasil daripada pendekatan holistik kita dari 2000 hingga 2017, peningkatan kemasukan pelancong amat-amat memberangsangkan namun dalam masa sama kita tetap mengutamakan pembangunan yang mampan.

“Itu memang agenda yang kita sering utamakan, walaupun kita adakan pembangunan namun keindahan flora dan fauna serta tarikan alam semula jadi di sini kita kekalkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu selain pembangunan untuk menarik kedatangan pelancong, pihak NCIA ia juga turut menyediakan program latihan untuk masyarakat setempat khususnya untuk masyarakat Orang Asli.

“Kita melatih mereka dari segi kemahiran untuk berniaga dan juga bekerja, ia amat unik kerana selalunya pelatih akan ke pusat latihan namun di sni kita yang membawa pusat latihan itu kepada mereka,” tambah beliau.