IPOH : Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendakwa satu lagi kawasan hutan di lereng bukit Banjaran Kledang iaitu bekas sebahagian Hutan Simpan (HS) Kledang Saiong seluas 500.2 hektar berhampiran Chemor dekat sini mula dimusnah dan dieksploitasi sejak 1 November lalu.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, berdasarkan pemerhatian di lapangan pada Jumaat, kira-kira 20 hektar kawasan hutan telah dibalak secara tebang habis sehingga gondol.

Di samping itu, katanya, SAM dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) mempersoalkan samada pelesen pembalakan di kawasan tersebut mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) sebelum memulakan kegiatan pengusahasilan.

Menurutnya, SAM dan KUASA telah kerap kali menyuarakan kebimbangan dan menggesa pihak berkuasa negeri tidak lagi memansuhkan sesuatu kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di samping mencadangkan supaya diwarta semula atau diganti kawasan tanah lain sebagai HSK tetapi saranan itu tidak begitu diambil perhatian.

“Malah agenda pertama yang dibincangkan semasa pertemuan diantara SAM dengan Menteri Besar Perak pada 19 Februari lalu ialah pihak berkuasa negeri tidak harus memansuhkan sesuatu kawasan perlindungan terutama HSK tanpa justifikasi dan keperluan yang munasabah.

“Walaupun pemansuhan sebahagian HS Kledang Saiong seluas 500.2 hektar tersebut adalah semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, Menteri Besar selaku EXCO yang bertanggung-jawab terhadap portfolio tanah, hutan dan sumber asli perlulah mengambil-kira kesannya kepada kesejahteraan alam sekitar dengan mewartakan semula sebagai HSK selari dengan salah-satu objektif Dasar Perhutanan Negara serta matlamat dan sasaran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) iaitu pada tahun 2020 keluasan HSK di Semenanjung Malaysia mencapai lima juta hektar,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Meenakshi berkata, bekas sebahagian HS Kledang Saion itu juga sepatutnya perlu dipelihara dan dilindungi kerana ia merupakan sebahagian daripada kawasan Geopark Lembah Kinta.

Menurutnya, setiap perancangan pembangunan khususnya yang melibatkan pengubahan guna-tanah yang hendak dilaksana oleh Pihak Berkuasa Negeri perlu merujuk dan mengambil-kira serta selari dan tidak bercanggah dengan semua dasar, pelan perancangan fizikal, ketetapan dan garis panduan berkaitan alam sekitar sedia-ada.

“SAM dan KUASA berharap pihak berkuasa negeri Perak akan meneliti dan memperhalusi semula lain-lain cadangan projek yang boleh memberi impak dan kesan ketara kepada kesejahteraan alam sekitar sebagaimana yang terkandung dalam insiatif manifesto Pakatan Harapan pada Piliharaya Umum ke-14 lalu,” ujarnya.