IPOH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menyifatkan sebagai tidak bertanggungjawab pihak yang menularkan kononnya beliau akan mengadap Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Menurut beliau, untuk membubarkan DUN dan mengadakan PRN bukan perkara main-main kerana ia memerlukan perbelanjaan yang banyak.

Di samping itu, kata beliau, tindakan itu juga akan membuatkan berlaku lagi perpecahan di kalangan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak supaya menghentikan segala bentuk politiking serta polemik dan menumpukan kepada tanggungjawab masing-masing.

“Kami ada mandat untuk lima tahun, buat kerja sungguh-sungguh, kalau ada pembangkang, pembangkang pun perlu jalankan peranan dengan baik, kerajaan perlu lebih menitik beratkan tentang perkhidmatan kepada rakyat, cukup-cukuplah berpolitik.

“Saya fikir di Malaysia ini, cukup-cukuplah dengan politiking, janganlah hidangkan rakyat dengan perbalahan lagi, perpecahan dan adu dumba di kalangan kami orang-orang politik,” katanya kepada pemberita selepas wawancara bersama Perak FM di sini, hari ini.

Ahmad Faizal mengulas mengenai tular di dalam media sosial kononnya beliau akan mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk membubarkan DUN Perak.

Menteri Besar berkata, semua pemimpin politik, tidak kira daripada parti mana sekali pun, perlu bertanggungjawab terhadap negeri dan negara.

“Kalau kita benar-benar cintakan negara kita, cukup-cukuplah menghidangkan politiking di kalangan kita kepada rakyat, ini masa untuk kita perbetulkan apa yang salah dan move foward,” ujarnya.