KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa kesemua parti politik untuk berdamai sementara waktu, dan memberi tumpuan usaha menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Menurut pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tempoh berdamai yang dikenali sebagai “Pause Malaysia” itu amat perlu memandangkan situasi masa kini agak kritikal dan mendesak kepada rakyat.

Dalam ciapan ringkas di Twitter rasminya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu juga mendesak agar polemik mengenai perubatan kuasa atau kemungkinan pilihan raya umum (PRU) harus dihentikan dalam tempoh ini.

“Tempoh berdamai antara semua parti politik (penting) kerana situasi kini amatlah mendesak rakyat. Rakyat sedang menderita. Janganlah ada lagi perebutan kuasa dari mana-mana parti politik dalam tempoh ini.

“Tidak ada PRU selagi ancaman COVID-19 masih berleluasa di Malaysia. Pihak kerajaan, pembangkang, dan Bebas (perlu) duduk semeja, wujudkan satu kerjasama melebihi kepartian dalam meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan nombor satu,” tegas bekas Menteri Belia dan Sukan itu lagi.

Baru-baru ini, media melaporkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menunggu tarikh baharu untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan bilangan Ahli Parlimen yang menyokong beliau menubuhkan kerajaan baharu.

Dalam satu sidang media tergempar pada 24 September lalu, Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa, beliau mempunyai sokongan majoriti yang kukuh untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun usahanya terpaksa ditangguhkan memandangkan Yang di-Pertuan Agong dimasukkan ke Institut Jantung Negara kerana kesihatan yang kurang memuaskan.

Susulan pengumuman Anwar, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan beliau menghormati keputusan mana-mana Ahli Parlimen dari parti itu yang ingin menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri baharu.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad pula menganggap sekiranya sokongan UMNO dan Barisan Nasional kepada Anwar adalah benar, tindakan itu bukanlah ‘percuma’.