TELUK INTAN: Kebiasaannya, cerita mengenai mangsa banjir akan berkisarkan mengenai kerosakan dan keperitan mereka menempuhi bencana alam, namun berbeza bagi warga emas, Rokiah Salleh, 80.

Ketika ditemui, Rokiah yang juga seorang ustazah kelihatan sugul seolah-olah memikirkan mengenai kehilangan barangan pusaka, namun ketika ditanya, jawapan Rokiah begitu ringkas.

“Kitab (Al-Quran), kain putih ( telekung), sejadah dan surat ( buku-buku agama) makcik dah hanyut, apa bekalan makcik masa tua?,” katanya sambil menahan hiba.

Malah, Rokiah juga sempat meminta bantuan anggota dan pegawai Angkatan Pertahanan Malaysia ( APM) dan anggota penyelamat untuk mencari naskhah al-Quran dan barangan tersebut tetapi gagal menemuinya.

“Itu sahajalah peninggalan arwah suami makcik, telekung dan sejadah itulah yang menjadi kenangan dan penguat semangat makcik, tapi semuanya hanyut dibawa air,” katanya lagi.

Rokiah, merupakan antara 31 mangsa banjir di Kampung Parit Tujuh, Labu Kubong yang dipindahkan ke SK Pengkalan Ara berikutan paras air meningkat setinggi 1 kaki bermula pada malam Jumaat.

Warga emas itu merayu pihak berwajib segera menambahbaik kawasan penempatan mereka bagi mengelakkan banjir terus berulang.

“Makcik cukup tawakal dengan ujian Allah, tetapi sejak bulan 12, dah tiga kali kami berulang-alik ke pusat pemindahan, makcik dah tua tak larat dah, minta tolong tengokkan kalau kawasan rendah kami ini boleh diperbaiki, itu sahaja,” ujanya.

Bagi Adibah Abdul Rahman, 29, dia terpaksa menanggung kerugian yang besar berikutan tanamannya terjejas dan musnah akibat banjir yang melanda kawasan perumahannya.

WhatsApp Image 2017-01-21 at 10.24.59 AMKatanya, dia hanya berkebun di sekitar rumahnya justeru pendapatan utama mereka adalah berdasarkan pulangan harian menjual sayur-sayuran.

“Sejak Disember, dah tiga kali saya keluarkan modal untuk bercucuk tanam secara kecil-kecilan bagi membantu suami membeli susu dan lampin anak, apabila banjir berlaku, habis musnah dan licin tanaman saya.

“Syukur, kami turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun hanya cukup menampung secara ala kadar…jadi pertanian itu adalah inisiatif kami untuk menjana pendapatan tambahan,” ujarnya.

Adibah berharap ada pihak yang sanggup memberi sumbangan ikhlas untuk membantunya mendapatkan sedikit modal bagi bercucuk tanam untuk pendapatan harian keluarganya.