IPOH: Biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran sejak mengambil alih tampuk pentadbiran, kerajaan negeri Perak melihat hikmah di sebalik kekurangan itu demi mengembalikan kegemilangan negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata,
kerajaan negeri tidak akan berganjak dan akan terus mara, mengibarkan panji-panji harapan rakyat dan mengembalikan sinar kegemilangan negeri ini.

Menurut beliau, sebagai sebuah pentadbiran yang sentiasa merasai denyut nadi rakyat, kerajaan Pakatan Harapan Perak akan sentiasa memberi keutamaan kepada segala usaha untuk menunaikan harapan setiap lapisan rakyat.

“Insya Allah negeri Perak akan menjadi sebuah Negeri yang dirahmati Allah SWT sebagai negeri yang baik dan mendapat rahmat keampunan Tuhan dengan berpegang kepada prinsip menegakkan kebenaran dan keadilan serta mencegah kemungkaran,” katanya dalam perutusan Tahun Baru 2019, pada Isnin.

Beliau berkata, tahun 2018 telah melalui pelbagai pancaroba, liku dan kejayaan.

Beliau memberitahu, di bawah tema Bersama Memacu Harapan, Bajet Negeri 2019 telahpun dibentangkan di dalam persidangan Dewan Negeri berlandaskan 5 fokus iaitu:

i) Mengukuhkan ekonomi dan kelestarian sumber negeri;
ii) Memacu kesejahteraan dan ekonomi rakyat;
iii) Menggerakkan Revolusi Industri 4.0;
iv) Meluaskan jaringan strategik pembangunan negeri; dan
v) Memastikan perbelanjaan mengikut keperluan.

“Marilah semua, kita banggakan negara dan negeri kita. Kita kuatkan kembali ukhwan persahabatan supaya tiada anasir luar dapat menggoyahkan semangat anak Perak yang tercinta

“Kita tolak fahaman kebencian agar Malaysia tercinta ini terus terpelihara,” ujarnya.

Ahmad Faizal yakin dan percaya bahawa Perak bukan sahaja gemilang daripada segi ekonomi, bahkan perpaduan masyarakatnya yang bernilai tinggi di cemburui negara-negara lain.

“Harapan saya, kita kekalkanlah keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi hari ini sebagai landasan untuk kita membina kejayaan yang lebih gemilang di hari esok,” katanya.

Sambil mengucapakan selamat Tahun Baru 2019, beliau berkata, dengan sokongan dan dokongan seluruh rakyat, dengan doa dan keazaman untuk terus mencipta kejayaan demi kejayaan, rakyat akan melakar masa depan bersama yang lebih sejahtera di negeri Perak yang dicintai.