KUALA LUMPUR: Polis telah menahan seorang pemilik akaun Twitter dan sedang mengesan tiga lagi pemilik akaun laman sosial yang memuat naik kenyataan berunsur penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu dan berbaur hasutan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, seorang daripada pemilik akaun berkenaan telah berjaya ditahan dalam satu serbuan pada 26 Oktober lalu.

Jelasnya, pemilik akaun Twitter berusia 52 tahun itu ditahan di kawasan Cheras pada Isnin.Turut dirampas perkakasan yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kenyataan yang tular itu.

“Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan.

“Manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana pengunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Sementara itu, tiga lagi kertas siasatan dibuka berhubung kenyataan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama “Ronnie Liu Tian Khiew” dan “Ho Ruey Terng”, serta pemilik akaun Twitter “Uncle Ireeve”.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan.

“Manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana pengunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas suspek-suspek kerana menghasut.

“Kesemua pemilik Facebook dan Twitter yang dikenal pasti diminta tampil untuk menyerah diri di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Sekiranya ingkar, PDRM akan mengesan dan menangkap mereka yang terlibat,” tegasnya.

Justeru, PDRM menggesa rakyat Malaysia agar sentiasa menghayati Prinsip Rukun Negara bagi mengelakkan perlakuan sedemikian.