LANGKAWI, 13 JAN :  Sebuah hotel bertaraf lima bintang di Teluk Datai, Langkawi alami kemusnahan teruk apabila terlibat dalam kebakaran kali kedua bagi tempoh kurang daripada 24 jam.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.13 pagi Rabu (13 Januari).

“Sebaik tiba di lokasi, api sedang marak akibat angin kencang melibatkan bangunan blok B dengan keluasan dianggarkan 300 x 900 kaki. Terbakar hampir keseluruhan.

“Bomba berdepan sedikit kesukaran apabila bekalan air kurang dan (dari aspek) akses ke dalam (premis) bangunan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya lagi, operasi pemadaman menumpukan pada bahagian sayap utama bangunan menggunakan dua pancutan air dari jentera bomba.

Kawalan kebakaran turut membabitkan sebuah restoran di kawasan bersebelahan bangunan hotel bagi mengelakkan api menyambar bahagian utama bangunan.

Mohamadul Ehsan memaklumkan, anggaran kemusnahan dikatakan melibatkan hampir keseluruhan struktur bangunan berikutan bangunan yang diperbuat daripada kayu.

Setakat ini, operasi pemadaman api masih giat dijalankan. – AWANI