IPOH: Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, menafikan berita yang tular menerusi media sosial mengenai seorang pesakit perempuan berbangsa Cina yang didakwa positif virus Covid-19 telah melarikan diri daripada hospital itu.

Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr Abdul Malek Osman berkata, semakan pihak hospital mendapati tiada pesakit seperti yang ditularkan di hospital tersebut.

Katanya, orang ramai digesa tidak menularkan sebarang berita yang tidak sahih kerana dibimbangi mencetuskan kegusaran orang ramai.

“Terdapat penularan berita menerusi media sosial seperti Facebook dan Whatsapp mengenai seorang pesakit perempuan berbangsa Cina yang didakwa positif virus Covid-19 telah melarikan diri daripada hospital ini.

“Pihak hospital ingin menafikan penularan berita tidak benar itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya lagi, sebarang maklumat berkenaan Covid-19 boleh merujuk kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi talian hotline 03-8881 0200/0600/0700 atau e-mel cprc@moh.gov.my.