TRONG: Seramai 43 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berikutan banjir yang berlaku di Kg Jawa, di sini pada lewat malam Isnin. 

Dalam kejadian sekitar 10.45 malam itu, kesemua mangsa daripada 13 keluarga terpaksa dipindahkan berikutan hujan lebat yang menyebabkan paras air di sekitar kawasan itu meningkat secara mendadak.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Larut, Matang dan Selama berkata, pihaknya telah membuka pusat pemindahan sementara (PPS) pada 7.30 malam Isnin berikutan hujan lebat yang berterusan.

“Mangsa terdiri daripada 18 lelaki dan 18 wanita, selain tujuh kanak-kanak perempuan dan kesemua mereka ditempatkan di Surau Kg Jawa Trong pada 10.45 malam.

“Buat masa ini, air telah naik sehingga ke paras 0.325 meter dan proses pemindahan masih lagi dijalankan buat masa ini,” katanya ketika dihubungi pemberita.