Ulu Kinta: Hujan lebat luar biasa yang berterusan selama dua jam petang semalam mengakibatkan kawasan Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, dan sekitarnya dilimpahi banjir berlumpur sehingga tular di media sosial.

Menurut Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun, kali terakhir banjir itu berlaku di kawasan kem PGA Ulu Kinta adalah pada tahun 2018.

Namun katanya, banjir lumpur yang berlaku semalam lebih teruk sehingga tular di media sosial, selain mengakibatkan kerosakan pada infrastruktur di kem terbabit.

“Kita dapati banyak punca yang menyumbang kepada kejadian banjir yang berlaku pada petang semalam.

“Antaranya sepanjang rekod dari tahun 2018 hingga kini, hujan turun di kawasan ini lebih kurang dalam 58 milimeter per jam.

“Tetapi semalam hujan turun antara 95 hingga 100 milimeter , maknanya pertambahan hampir 100 peratus kuantiti air hujan,”katanya.

Dia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kinta ditemui pemberita selepas meninjau kesan banjir di kem PGA dan sekitarnya pada Sabtu.

Katanya lagi, hujan yang mula turun pada pukul 4 hingga 6 petang semalam mengakibatkan dewan yang menempatkan enam gelanggang badminton dan takraw di kem itu dipenuhi air.

Selain kawasan padang kawad yang dipenuhi lumpur.

“Semakan kita di atas puncak berhampiran dengan hutan lipur Ulu Kinta, menurut laporan di situ banyak air yang berkumpul yang berpunca daripada aliran ataupun alur sungai.

“Apabila air tersebut berkumpul dan air ini akan mencari laluannya sendiri, jadi antara laluan yang termasuk dalam aliran air adalah yang menghala ke bahagian bawah termasuk kem PGA ini,”katanya.

Halizah berkata, nilai kerosakan masih dalam penilaian dan pihaknya sedang melaksanakan tindakan susulan berhubung kejadian itu.

Ujarnya lagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membuat kerja-kerja mengorek dan mendalamkan kolam di kawasan PGA selain penyelenggaraan di sepanjang laluan air.