IPOH – Hujan lebat awal pagi tidak mematahkan semangat untuk rakyat negeri ini bersama meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri Perak yang berlangsung di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh, pagi tadi.

Lebih 15,000 rakyat pelbagai bangsa dan usia hadir seawal jam 6.30 pagi bagi memeriahkan sambutan yang bertemakan Sayangi Malaysiaku.

Julita Mokhtardin, 41, dari Ipoh berkata, dia dan keluarga tidak kisah sekiranya hujan berlarutan kerana sudah bertekad untuk turun meraikan sambutan kemerdekaan.

“Ini memang aktiviti tahunan kami sekeluarga, jadi sama ada hujan atau tidak, kami tetap akan datang.

“Alhamdulillah, hujan reda sekitar jam 7  dan dapatlah kita lihat ramai orang turun pagi ini,” katanya.

Ng Kee Chun, 51, dari Pengkalan pula berkata, dengan pentadbiran baharu, rakyat juga memperolehi semangat baharu untuk terus memupuk perpaduan antara kaum.

“Kali ini kita punya semangat lain macam, Melayu, Cina dan India semua sanggup bangun awal dan berkumpul sambut merdeka, saya berani bertaruh, jika hujan pun, masih ramai yang datang ke sini,” katanya.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat ditemani dua anakanda baginda,  Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Besar Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Kerjaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dalam majlis itu, Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan hormat utama dibarisi tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) 2 Divisyen, Kem Sangro, Taiping.

Kawalan kehormat diiringi Brassband KD Pelanduk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seramai 23 anggota dibawah pimpinan Leftenan Izuan Mat Isa.

Acara kemudiannya diteruskan dengan bacaan doa dan persembahan koir oleh 90 pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar Perdana; SK Seri Iskandar; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Iskandar dan SMK Iskandar Shah dengan lagu Nyalakan Tekad, Sayangi Malaysiaku dan Jalur Gemilang.

Majlis diteruskan dengan perbarisan dan perarakan masuk 107 kotinjen melibatkan 5,703 peserta antaranya jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, pasukan beruniform dan pancaragam.

Paling mencuri tumpuan adalah perarakan daripada 23 kontinjen kenderaan antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perarakan kali ini turut disertai 150 atlet dan 120 peserta larian obor yang akan menyertai Sukan Malaysia (Sukma) Perak edisi ke-19 yang berlangsung, September ini – sinar