Lombok: Si suami baru berusia 15 tahun manakala isteri 12 tahun namun kerana adat, mereka dinikahkan di Dusun Montong Praje, Lombok Tengah, baru-baru ini.

Ia dilangsungkan mengikut adat kaum Sasak yang mengahwinkan anak gadis mereka yang didapati keluar bersama lelaki pada waktu malam.

Adat itu yang dikenali juga sebagai ‘merarik’ adalah sebahagian amalan budaya masyarakat di Lombok.

Adat itu merujuk kepada pernikahan bagi gadis yang lari mengikut lelaki.

Media tempatan melaporkan, sebelum bernikah, kedua-dua remaja terbabit dikatakan baru berkenalan empat hari.

Difahamkan, pada satu temu janji, kedua-duanya berjumpa pada petang dan berlanjutan ke malam.

Remaja lelaki itu menghantar teman wanitanya ke rumah jam 9.30 malam.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak dapat diterima keluarga gadis berkenaan dan pasangan itu dinikahkan.

Ketua Badan Perundingan kampung, Herman berkata, ketika ini, adat berkenaan masih dipegang sebahagian kecil ibu bapa yang menikahkan anak mereka yang keluar bersama teman lelaki.

“Ada yang masih mengikut budaya ini, dan ada yang tidak. Dalam kes ini, ibu bapa pasangan ini masih berpegang kepada adat.

“Kalau anak mereka dibawa keluar dan dihantar pulang pada waktu malam, mereka tidak menerima (perbuatan itu),” katanya.

Katanya, biarpun ada alasan menolak perkahwinan itu, ia tetap dilaksanakan atas dasar tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Bagi mereka, jika tidak dikahwinkan segera, ia menconteng arang ke muka keluarga.

Selain itu, bagi sesetengah anggota masyarakat, adat perlu dijunjung tinggi bagi mengelak masalah kerana ia telah dipraktikkan sejak dahulu.