KUALA LUMPUR : Pindaan Akta Pengangkutan Jalan yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah yang memandu dalam keadaan mabuk, berbahaya dan di bawah pengaruh dadah akan dikuatkuasa mulai Jumaat ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pindaan itu melibatkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan yang membabitkan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu.

“Diharapkan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 ini dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai terhadap pematuhan undang-undang, menjadi pengguna jalan raya yang berhemah dan memastikan jalan raya di negara ini kekal selamat,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi dalam Facebook beliau di sini, pada Rabu.

Ka Siong memaklumkan, Kementerian Pengangkutan menerima instrumen penetapan tarikh permulaan kuat kuasa Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 daripada Jabatan Peguam Negara, pada Selasa.

“Hari ini, giliran saya untuk menandatangani dokumen itu sebagai Menteri Pengangkutan Malaysia,” katanya.

Majlis itu tersebut jelasnya, disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha, Datuk Isham Ishak.

Ka Siong berkata, Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 itu digubal dengan mengambil kira pandangan orang ramai menerusi soal selidik yang dijalankan oleh bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat (BLPD).

“Berdasarkan soal selidik, 94 peratus daripada daripada 345,000 responden mahu pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dikenakan hukuman yang lebih berat,” jelasnya.