Oleh: Aida Aziz

SETIAP kali anda menghidupkan enjin kenderaan dan bergerak di atas jalan raya, mesti sesekali terlintas dalam fikiran mengapa nombor plat di negeri yang kaya dengan bijih timah pada suatu ketika dahulu ini bermula dengan huruf A.

Umum mengetahui setiap negeri di Malaysia mempunyai nombor plat dengan huruf tersendiri sekaligus memudahkan pengguna jalan raya membezakan kenderaan itu didaftarkan di negeri mana.

Contohnya A (Perak), B (Selangor), C (Pahang), D (Kelantan) dan K (Kedah).

Di sebalik huruf itu sebenarnya mempunyai makna yang tersirat, khususnya A bagi Perak yang disokong dengan beberapa fakta yang disampaikan oleh pengkaji sejarah sebelum ini.

Menurut Pengerusi Persatuan Warisan Perak, Mohd Tajudin Mohd Tahir, sejarah nombor plat ini ada hubung kait dengan penubuhan pejabat pendaftar yang dikatakan bermula di Perak.

“Itu antara sebab mengapa negeri Perak dapat A, ia selepas Lembaga Pengangkutan Jalan 1937 digantikan dengan Pejabat Pendaftar dan Pemeriksaan Kereta-Kereta Motor pada tahun 1946.

“Sebelum wujud Lembaga tersebut, nombor plat ini di bawah kuasa polis Perak dan Selangor termasuk Ketua Inspektor Negeri Sembilan dan enam Pegawai Daerah di Pahang.

“Mengapa Perak bermula dengan A juga ada kaitan dengan penggunaan kenderaan bermotor paling banyak di Tanah Melayu, kerana Perak kaya dengan bijih timah dan ramai yang mampu beli dan guna kereta,” katanya kepada Suara Perak.

Perubahan PK kepada A

Bagi mengukuhkan bukti tersebut, Suara Perak turut menemubual Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee yang masih menyimpan buku-buku dan fakta berkaitan sejarah nombor plat di Malaysia.

Katanya, Ipoh pernah mendapat jolokan bandar jutawan ketika zaman kemuncak bijih timah dan perladangan getah sekitar tahun 1910 sekaligus mengatasi bandar Taiping yang pernah menjadi ibu negeri Perak.

“Saya bercakap berlandaskan fakta yang pernah diutarakan oleh tokoh sejarawan dan ahli akademik, mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dalam bukunya, Kampung-Kampung Tersohor di Sepanjang Sungai Perak.

“Petikan ayat di situ tertulis Perak merupakan negeri pertama yang mendaftarkan kenderaan bermotor dan kerana itu lesen plat kenderaan bermula dengan huruf A.

“Namun begitu, sistem nombor plat sebelumnya bermula dengan PK (Perak), begitu juga PG (Penang) dan SG (Selangor), kini ia lebih teratur yang menggunakan A hingga Z,” katanya.

Banyak “Pertama” di Perak

Ujar Hisham lagi, difahamkan penduduk di Negeri-Negeri Bersekutu iaitu Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor antara yang ramai menggunakan kenderaan ketika zaman British.

“Mengikut seniority (kekananan) negeri itu, Perak lebih senior berbanding negeri yang lain dan itu sebab British beri keistimewaan dengan A, Selangor (B), Pahang (C) dan Negeri Sembilan (N),” jelasnya.

Kewujudan lampu isyarat yang pertama di Tanah Melayu juga dikatakan terdapat di Ipoh yang kini dikenali sebagai Bulatan Sultan Yussuf yang terletak berdekatan kediaman Menteri Besar, ujarnya.

Selain itu, katanya, Ipoh juga merupakan bandar pertama mempunyai tempat letak kereta bermeter pada tahun 1960, dahulunya wujud berdekatan dengan Padang Ipoh.

“Kalau sekarang ia dikenali dengan Jalan Tun Sambanthan dan Jalan Dato’ Maharajalela, ada jalan kecil di situ, boleh dikatakan di situlah letaknya tempat letak kereta bermeter dahulu.

“Tempat letak kereta bertingkat yang pertama di negara ini juga bermula di Ipoh yang berdekatan dengan Medan Selera Dato’ Sagor, boleh dikatakan tiga bukti yang kukuh ini menyokong fakta yang pernah disampaikan oleh mendiang Kay Kim,” katanya.