Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah meluahkan rasa penghargaan tidak terhingga kepada pucuk pimpinan tertinggi parti yang meletakkan kepercayaan terhadapnya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tambun.

Menurutnya beliau tidak akan mensia-siakan kepercayaan tersebut memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu.

Husni yang akan mempertahankan kerusi itu buat penggal keenam beliau yakin kawasan itu pastinya akan maju dan membangun dengan lebih pesat dengan kemenangan BN.

Beliau yang pertama kali menang kerusi itu pada 1995 berhasrat terus memajukan dan mentransformasi Tambun terutamanya dalam sektor modal insan sekiranya diberi mandat sekali lagi.

“Syukur kerana saya dicalonkan semula untuk Tambun, saya berterima kasih kepada pucuk pimpinan atas kepercayaan ini. Saya juga berterima kasih kepada jentera parti yang saya anggap seperti keluarga…sentiasa beri sokongan kepada saya untuk menggalas amanah ini,” kata ahli politik veteran berusia 65 tahun itu.

‘‘Mereka akan bersama-sama dengan saya …kerana selama ini kita telah melakukan pembangunan, kita lihat Tambun dulu dan kini sudah berbeza,”katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon BN Perak di Kediaman Menteri Besar, di sini,hari ini.

Justeru, ahli politik veteran itu bakal berdepan dengan calon daripada PAS, calon baru iaitu Ibrahim Zakaria.

Ahmad Husni berkata pihaknya juga akan melaksanakan strategi berbeza dan menggembeling tenaga bersama badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu menggerakkan usaha bagi memenangkan BN pada kali ini.

Katanya, beliau yakin keputusan tindakan meletakkan jawatan cabinet pada Julai 2016 lepas sebagai rahmat kerana dapat meluangkan masa yang lebih dengan masyarakat disebabkan lebih banyak masa terluang.

Katanya, beliau juga mempunyai peluang untuk menjalinkan jaringan komunikasi yang lebih luas bersama dengan masyarakat setempat dari pelbagai latar belakang di seluruh Malaysia sebaik sahaja menyerahkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kewangan sebelum ini.

“Setiap kali saya berjumpa dengan mereka, saya akan pastikan suara mereka, keinginan dan permasalahan mereka disampaikan kepada pucuk pimpinan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,”ujarnya.

Malah, Ahmad Husni tidak menolak sekiranya diberikan mandat untuk dicalonkan bagi jawatan Menteri sekali lagi untuK PRU ke-14.

“Sekiranya Perdana Menteri ingin mencalonkan saya sekali lagi sebagai Menteri,saya akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik berbanding sebelum ini, kerana saya lebih mengenal rakyat, dan saya boleh berinteraksi lebih baik,”katanya lagi.