SUNGAI SIPUT: Lebih dua hektar kawasan hutan di puncak Bukit Berekeh, berhampiran penempatan Orang Asli Kampung Bawong, Lasah, dekat sini musnah dalam kebakaran, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 11.36 pagi.

Menurutnya, seramai 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput segera ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi pemadaman.

“Disebabkan lokasi kejadian di puncak bukit, anggota bomba menggunakan teknik pemerap api untuk operasi pemadaman,” katanya di sini.

Bukit Berekeh atau turut dikenali sebagai Bukit Botak, yang berketinggian 454 meter (1940 kaki) sering menjadi lokasi aktiviti pendakian kerana keindahan pemandangan dari puncak.

“Ini kawasan rekreasi, mungkin ada kebakaran terbuka sehingga menyebabkannya merebak sehingga lebih dua hektar.

“Cuaca panas dan kering sekarang mungkin juga antara penyumbang berlaku kebakaran,” ujarnya.

Operasi pemadaman yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Jeffry Abdullah masih diteruskan bagi memastikannya tidak merebak.