IPOH: Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) Perak melarang semua aktiviti rekreasi trek di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri itu, berkuatkuasa 15 Oktober 2020 hingga 31 Januari 2021.

Timbalan Pengarah (Operasi) JPN Perak, Ramli Mat berkata, antara aktiviti itu termasuklah pendakian, trekking, kenderaan pacuan empat roda dan berbasikal.

Menurutnya, penutupan itu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini ekoran musim tengkujuh.

“Menurut kajian dan penganalisaan tinjauan yang dikeluarkan Jabatan Metereologi Malaysia, fasa peralihan monsun Timur Laut akan bermula sekitar awal September sehingga awal 2021.

“Semasa fasa peralihan monsun, keadaan cuaca yang lazimnya berlaku adalah ribut petir dan hujan lebat beserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ribut petir menyumbangkan jumlah hujan yang tinggi dan berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh.

Selain itu, tambahnya, potensi kejadian pokok tumbang dan tanah rebak adalah sangat tinggi dan membahayakan pengunjung.

“Justeru itu, JPN Perak telah mengambil inisiatif dengan menutup laluan pendakian, aktiviti ‘treking’ dan lain-lain aktiviti rekreasi di dalam HSk sebagai usaha untuk menjamin keselamatan para pendaki dan penggiat aktiviti rekreasi,” ujarnya.

Ramli menjelaskan, penutupan itu adalah amalan setiap hujung tahun dan turut dilakukan di negeri-negeri lain.

“Selain daripada itu, penutupan ini adalah merupakan langkah yang diambil bagi mengekang penularan rantaian COVID-19 yang masih negara hadapi,” katanya.

Menurutnya, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang memasuki HSK tanpa permit yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.