KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kumpulan sasar yang layak memohon i-Suri akan diperluas kepada masyarakat Orang Asli serta Orang Asal Sabah dan Sarawak.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, justeru pihaknya akan memanjangkan penyelarasan daftar pemohon program itu dengan agensi bertanggungjawab, termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), untuk mendapatkan senarai mereka yang layak.

“Kita mengambil maklum bahawa pihak Orang Asli dan mungkin Orang Asal Sabah dan Sarawak memerlukan jaringan ini. Kalau boleh kita sama-sama selaraskan dengan data. Data itu kita mesti lakukan pemutihan juga kerana ada pertindihan banyak.

“Ideanya baik, tetapi sebab (dana) terhad, kita kena fikir mana keperluannya,” katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Isa Ab Hamid sama ada daftar pemohon i-Suri akan diperluas kepada masyarakat Orang Asli yang tidak termasuk dalam senarai e-Kasih yang digunakan kerajaan bagi menentukan pemohon layak bagi program itu.

Sementara itu, menjawab soalan asal Senator Asmak Husin pula, Dr Wan Azizah menarik perhatian anggota Dewan Negara bahawa sasaran pendaftaran 100,000 suri rumah dan wanita bawah program berkenaan yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu, kini sudah tercapai.

Malah, beliau berkata, hingga 30 April lalu, jumlah mereka yang mendaftar melebihi sasaran, iaitu sebanyak 107,619 orang.

Ada tiga fasa pelaksanaan program berkenaan, iaitu caruman secara sukarela dengan insentif kerajaan melalui sumbangan ke akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Fasa kedua ialah caruman secara sukarela dengan insentif kerajaan melalui sumbangan ke akaun KWSP dan peluasan perlindungan sosial kepada suri rumah bawah kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Fasa ketiga pula caruman wajib suami melalui potongan dua peratus caruman KWSP kepada isteri atau suri rumah,” katanya.

Beliau berkata, bagi fasa ketiga, draf pindaan Akta KWSP 1991 sudah disediakan dan dijangka dibentang di Parlimen, Julai depan, dan pelaksanaannya dijangka bermula pada suku ketiga tahun hadapan. – BERNAMA