IPOH : Keputusan untuk membenarkan jemaah Malaysia menunaikan umrah bergantung kepada situasi semasa Covid-19, walaupun kerajaan Arab Saudi dijangka akan membenarkan jemaah melaksanakan ibadat itu mulai September atau Oktober ini.

Perkara itu diakui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri yang mahu aspek keselamatan dan kesihatan jemaah dititikberatkan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

\”Sebab itu jangkaan, boleh jadi berubah seperti mana baru baru ni haji pun pada asasnya memang kita bersedia untuk menghantar (jemaah) tapi bila melihat suasana dan situasinya boleh berubah.

Jadi kami menyambut baik apa apa keputusan tetapi kemaslahatan dan juga dari segi kesihatan memang mana- mana negara pun akan mengutamakannya,\” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyerahkan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Kampung Lambor Kanan pada Rabu.

Dalam lawatan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyumbangkan sebanya RM 25,000 kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Kampung Lambor Kanan yang terbakar pada 30 Julai lalu.

Sebelum ini media melaporkan lebih 50,000 jemaah umrah tanah air yang belum berlepas ke tanah suci berikutan penutupan sementara Makkah bagi mengekang penularan Covid-19, sedia untuk kembali melaksanakan ibadat itu bila-bila masa.

Media Arab Saudi, Saudi Gazzette melaporkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sedang menilai pembukaan semula Makkah untuk ibadat umrah.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia, Datuk Seri Razali Mohd Sham dipetik sebagai berkata pihaknya menjangkakan kerajaan Arab Saudi akan membenarkan jemaah menunaikan umrah mulai September dan Oktober ini.

Dalam pada itu, Zulkifli tidak menolak kemungkinan jika terdapat kos tambahan bagi menunaikan umrah memandangkan situasi covid-19 yang berlaku sekarang.

\”Boleh jadi berlaku, ini berdasarkan situasi semasa macam kita balik kampung nak hari raya..bila kita naik kapal terbang harga pun kadang-kadang boleh jadi berubah dengan sebab peraturan dan seumpanya dan itu tidak pelik jika berlaku perkara seperti itu,\” ujarnya.

Katanya lagi, pihaknya juga akan memperhalusi beberapa aspek yang perlu seperti jumlah jemaah yang dibenarkan dan kos saringan covid-19.