IPOH – Kelulusan permit yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada sebuah syarikat bagi membangunkan ladang hutan seluas 400 hektar tanpa melalui tender terbuka ibarat memberikan tanah ‘anugerah’.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, tindakan itu tidak wajar kerana sepatutnya permohonan untuk permit tanah itu harus dibuat secara tender terbuka.

Menurutnya, adalah jelas kerajaan negeri meluluskan permit tanah tersebut hanya berdasarkan cadangan daripada syarikat tersebut sahaja.

“Jika kelulusan permit itu diberikan tanpa tender terbuka, ia adalah tanah anugerah. Perkara ini

tidak sepatutnya berlaku kerana ia melibatkan tanah yang luas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui kelulusan permit kepada sebuah syarikat bagi mengusahakan pembangunan ladang hutan seluas 400 hektar di daerah Kinta di sini pada Disember lalu, tidak melalui proses tender terbuka.

Mengenai syarikat tersebut dikatakan mempunyai ahli lembaga pengarah yang berpe­ngalaman luas dalam memba­ngunkan ladang hutan, Saarani berkata, isu yang dipersoalkan ialah modal berbayar syarikat berkenaan.

“Untuk membuka perniagaan besar, semasa membuat permohonan kenalah lihat modal berbayar syarikat tersebut, tapi jika syarikat itu tidak mempunyai modal, sudah tentu ada yang tak betul.

“Ini bermakna keputusan semasa mesyuarat yang meluluskan permit tanah berkenaan tidak semak betul-betul modal berbayar syarikat berkenaan,” katanya.

Mengenai penjelasan Ahmad Faizal bahawa syarikat berkenaan bekerjasama de­ngan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Saarani berkata, adalah perkara biasa sesebuah syarikat mengadakan kerjasama dengan agensi yang mempunyai kaitan dengan apa diusahakan – utusan online