KUALA KRAI: “Lima tahun menunggu kepulangan Nik Hafizi yang bekerja di Australia demi mencari rezeki. Sepatutnya dia pulang ke tanah air September ini.

Ibu berdoa jasad anak di Australia ditemui

KUALA KRAI: “Lima tahun menunggu kepulangan Nik Hafizi yang bekerja di Australia demi mencari rezeki. Sepatutnya dia pulang ke tanah air September ini.

“Namun, kami sekeluarga dikejutkan dengan kejadian Nik Hafizi terjatuh dan dibawa arus” kata Rosidah Abdul Manaf, 54, iaitu ibu kepada Nik Hafizi Nik Long, 25, yang tergelincir sebelum dibawa arus di Little Beach, New South Wales, Australia, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang waktu tempatan, Nik Hafizi yang bekerja sebagai buruh sejak lima tahun lalu di negara berkenaan, dikatakan bersama lima sepupunya ke lokasi itu untuk memancing sebelum tragedi menimpa mangsa.

Rosidah berkata, hanya Allah sahaja tahu perasaannya selepas dimaklumkan kejadian menimpa anak kelima daripada lapan beradik itu.

“Sehingga kini, jasad Nik Hafizi masih belum ditemui dan operasi mencari masih dijalankan. Hampir setiap jam, anak saudara yang berada dilokasi kejadian memaklumkan perkembangan kepada kami di sini.

“Besar harapan saya supaya jasad Nik Hafizi ditemui walaupun sudah tidak bernyawa. Kami terlalu rindukannya kerana selama lima tahun, hanya berhubung menerusi panggilan video.

“Kali terakhir berhubung dengan Nik Hafizi pada 20 Ogos lalu dan setiap kali berhubung, Nik Hafizi tidak pernah lupa bertanyakan khabar saya dan sering berpesan supaya menjaga adik-adiknya dengan baik,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Beliau berkata, walaupun hasrat untuk menyentuh jasad anaknya buat kali terakhir mungkin tidak kesampaian kerana sukar untuk dibawa pulang, sekurang-kurangnya dia mahu melihat jasad Nik Hafizi ditemui.

“Kami reda jika jenazahnya tidak mampu dibawa pulang, namun melihat jasadnya ditemui sudah memadai buat kami sekeluarga. Sejak kelmarin kami berdoa dan membaca surah Yassin memohon pencarian dipermudahkan.

“Nik Hafizi seorang anak yang baik dan rajin bekerja. Setiap bulan dia tidak pernah lupa untuk mengirimkan wang kepada kami,” katanya. – BH