TANJONG KARANG: Seorang ibu maut, manakala anak perempuannya terselamat apabila kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu terjunam ke Tali Air Jalan Ban Kenal, Sungai Burong, di sini, pagi tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, berkata mangsa yang berusia 50-an itu dipercayai terperangkap selepas gagal keluar daripada kenderaan terbabit sebelum lemas.

“Bomba dikerah ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.45 pagi.

“Setiba di lokasi, kami mendapati anaknya berjaya diselamatkan orang awam yang berada di lokasi itu dan tidak sedarkan diri.

“Mangsa pula ditemui dan dibawa naik dari tali air berkenaan pada jam 1.51 tengah hari oleh unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Mangsa yang masih belum diketahui identiti itu terperangkap dalam kereta jenis Honda Jazz yang dihayutkan arus deras,” katanya.

Alimaddia berkata, anak mangsa, Noraini Bharti, 30, dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Mayat ibunya diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Tanjong Karang bagi urusan bedah siasat. Bomba mengambil masa tiga jam untuk menaikkan kereta terbabit,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Karang, Azmi Abbas  bersama 12 anggota balai terbabit serta enam anggota PPDA dari BBP Shah Alam.

-BeritaHarian