Oleh: Fakhirul Akhbar

IPOH: Seorang ibu tunggal menghadapi detik cemas apabila rumahnya dinaiki air sehingga ke paras pinggang akibat banjir kilat yang melanda Kampung Seri Kinta di sini.

Menceritakan kejadian cemas yang berlaku kelmarin, Rohaya Nordin, 71, yang tinggal bersendirian berkata, dia terpaksa meredah banjir untuk mendapatkan pertolongan.

“Air mula naik pada sekitar jam 8 malam dan memasuki rumah saya hingga ke paras pinggang.

“Mujur ada jiran tertangga yang datang membantu saya untuk mengalihkan barangan elektrik seterusnya membawa saya ke tempat yang selamat,” katanya ketika ditemui Suara Perak, hari ini.

ROHAYA NORDIN

Ekoran kejadian tersebut, Rohaya terpaksa menumpang berteduh di rumah kawannya sebelum kembali ke rumah pada keesokan hari.

Beberapa barangan seperti televisyen dan almari pakaian telah rosak akibat ditenggelami air.

Atas dasar keprihatinan terhadap nasib yang menimpa Rohaya, Jabatan Amal Malaysia dan Dewan Muslimat PAS cawangan Ipoh Timur telah bergotong-royong membantu membersihkan rumah beliau yang terjejas akibat banjir.

Pengerusi Unit Amal Cawangan Ipoh Timur, Mohd Sabri Arif berkata, program gotong royong itu diadakan bagi membantu membersihkan rumah mangsa banjir yang terjejas di sekitar Kampung Seri Kinta

SABRI ARIF

Katanya, program itu memberikan fokus untuk membantu mereka yang memerlukan seperti warga emas dan ibu tunggal.